CHOP? CHIFT PIST? APEKEBENDALAHTU?

Dalam set aquaponics yang saya buat sebelum ini, kesemuanya menggunakan kaedah pam air di dalam tangki ikan. Untuk sistem yang mempunyai sedikit ikan, kaedah ini tidak ada banyak masalah. Tapi apabila sistem itu dikembangkan untuk skala komersial, kaedah tersebut menjadi kurang sesuai, lebih-lebih lagi pam air yang akan selalu tersumbat dengan sisa pepejal daripada tangki ikan.

Dengan itu, kaedah CHOP ataupun CHIFT PIST digunapakai. CHOP adalah kependekan kepada Constant Height One Pump (ketinggian malar, satu pam), manakala CHIFT PIST pula ialah Constant Height In Fish Tank, Pump In Sump Tank (ketinggian malar dalam tangki ikan, pam dalam tangki takungan).

Kedua-duanya adalah kaedah yang lebih kurang sama, iaitu dengan meletakkan pam air di dalam tangki takungan (sump tank), manakala tangki ikan dibersihkan menggunakan kaedah SLO (solid lifting outlet atau paip keluar mengangkat pepejal), yang tidak mudah tersumbat berbanding pam air.

Menurut nama kaedah tersebut, aras kedalaman air tangki ikan adalah tetap, walaupun ketika berlaku kebocoran (pada paip lain dalam sistem) atau kegagalan pam air. Berlainan dengan jika pam air diletakkan di dalam tangki ikan, jika berlaku kebocoran, tangki ikan berisiko untuk kehilangan air hingga kering.

① – Bagi bersedia untuk operasi komersial, saya mengubah susun atur sistem aquaponics ini dengan mengaplikasi kaedah CHOP/CHIFT PIST. Air dari tangki ikan akan mengalir ke dalam tangki penapis aliran jejari (radial flow filter), kemudian ke tangki penapis bio, seterusnya ke tangki takungan.

② – Sambungan dari tangki penapis bio (bio filter) ke tangki takungan (sump tank). Tangki takungan ini diperbuat daripada tong 55 gelen untuk simpanan makanan. Sebaiknya gunakan tong yang baru atau kalau beli yang terpakai, pastikan ia tidak digunakan untuk menyimpan bahan kimia, kerana sisa kimia akan memberi kesan tidak diingini kepada ikan dan tanaman.

Pam air akan diletakkan di dalam tangki takungan, yang mengalirkan air kembali ke tangki ikan, dan satu aliran akan ditambah ke komponen hidroponik. Kali ini saya memilih untuk menggunakan kaedah NFT (nutrient film technique atau teknik filem nutrien).

③ – Kelainan yang saya buat daripada kaedah CHOP/CHIFT PIST yang piawai ialah saya menyambung saluran dari pancur atap ke dalam satu tong yang bertindak sebagai penapis – kotoran akan mendap ke dasar tangki, dan air yang lebih bersih akan melimpah masuk ke dalam tangki takungan untuk menambah kuantiti air dalam sistem. Walau bagaimanapun, ini hanya pemasangan sementara, dan saya mungkin akan menukarnya pada masa akan datang.

④ – Ini berita buruk. Kesemua ikan emas shubunkin telah mati semasa saya mengubah suai susun atur sistem aquaponics ini. Besar kemungkinan kerana cuaca panas – saya menukar air menggunakan air paip yang barangkali mengandungi klorin yang tinggi ataupun suhunya tinggi. Akan tetapi, ini juga berita baik kerana ia memberi ruang kepada saya untuk fokus kepada penternakan tilapia.

Ubah suai ini sebenarnya telah pun siap dua ke tiga minggu lalu, namun disebabkan cuaca yang jarang hujan, tangki ikan masih lagi belum penuh. 🐟

Facebook

Media K1 untuk penapis bio

1 – Hydroton dan media K1 dah pun diasingkan. Selain daripada media K1, ada banyak jenis media bio lain, seperti K2, K3, bio balls, jenis seramik dan sebagainya. Jenis K1 adalah yang paling banyak digunakan dalam aquaponics kerana ia praktikal – jumlah permukaan yang tinggi dalam saiz yang kecil.

Sesetengah orang menggunakan penyedut minuman yang dikerat pendek atau penutup botol plastik sebagai alternatif, namun ia kurang sesuai kerana tidak diketahui spesifikasinya – berapa jumlah keluasan permukaan yang disediakan untuk bakteria nitrifikasi.

2 – Pam udara akuarium disambung ke tangki penapis bio. Tujuannya adalah untuk membekalkan oksigen kepada bakteria pada media bio untuk menjalankan proses menukarkan ammonia kepada nitrat.

Bakteria yang memerlukan oksigen dikenali sebagai bakteria aerobik, manakala yang tidak memerlukan oksigen adalah bakteria anaerobik.

3 – Kaedah penapis bio yang digunakan dalam set aquaponics ini berasal daripada teknologi pengurusan sisa air kumbahan, yang juga dikenali sebagai moving bed bioreactor (MBBR). Cara fungsinya seakan sama dengan kolam kumbahan yang memproses kotoran kepada air yang selamat untuk dilepaskan ke alam sekitar.

Sesetengah set aquaponics tidak memiliki penapis bio, terutamanya jenis kotak batas berisi media (media bed), kerana media yang digunakan (selalunya hydroton), telah pun berfungsi sebagai rumah untuk bakteria nitrifikasi.

Facebook
Instagram

Paip tegak penapis radial flow

1 – Paip 4” untuk penapis radial flow, berfungsi untuk memperlahankan aliran air supaya pepejal kotoran yang lebih berat akan mendap ke dasar tangki. Terdapat keratan dibuat di hujung paip untuk aliran keluar air.

2 – Paip ini juga dikenali sebagai paip tegak (stand pipe), kerana cara meletakkannya adalah dengan mendirikan paip tersebut. Paip dari dalam tangki ikan tidak diketatkan supaya mudah untuk mengalih paip tegak ini untuk proses pembersihan.

Facebook
Instagram

Pindah ikan dalam tangki

1 – Hanya tinggal 9 ekor ikan emas shubunkin dari dalam akuarium, sekarang nak dipindah dalam tangki ikan.

2 – Tangki penapis radial flow, belum lagi diletak paip 4” yg bertindak sebagai dinding pembahagi yang memperlahankan aliran air dan seterusnya membantu kotoran mendap ke dasar tangki.

3 – Tangki bio, juga belum diisi dengan media K1, sebab media tersebut bercampur dengan hydroton yang dijadikan sebagai penapis untuk set aquaponics sebelum ini, dan ia mengambil sedikit masa untuk diasingkan.

4 – Paip kembali ke tangki, telah dipanjangkan sedikit bagi mengurangkan bunyi bising air.

Facebook
Instagram

Sistem perpaipan set aquaponics

Pam air berada di dalam tangki ikan, berfungsi menyedut air dan sisa kotoran dari dalam tangki ke penapis radial flow. Saya pasang sambungan T untuk membahagikan saliran, satu ke penapis dan satu lagi ke tangki ikan, yang dipasang injap kawalan, bertujuan mengawal kadar aliran air ke penapis.

Saluran paip ke dalam penapis radial flow. Di sini kotoran dari dalam tangki, terutamanya yang bersaiz besar, akan mendap ke dasar tangki, menghasilkan air yang lebih bersih untuk disalir kembali ke tangki ikan. Tangki ini mesti kerap dicuci bagi mengelak kotoran kembali ke tangki ikan, dan juga mengelak penguraian kotoran yang mencuri oksigen yang diperlukan ikan dan tumbuhan.

Saluran paip ke penapis bio. Tiada sambungan kekal dibuat supaya senang untuk mengalihkan mana-mana komponen penapis untuk dibersihkan, dan juga mengurangkan risiko kebocoran. Sesetengah kotoran yang lebih halus akan ditapis di sini, jadi tangki ini hendaklah dibersih secara berkala.

Saluran paip kembali ke tangki ikan. Sebatang paip yang dibuat jalur dipasang sehingga ke dasar tangki bio, kerana dalam tangki ini akan diisi dengan media K1 yang bertindak sebagai rumah untuk bakteria nitrifikasi, dan paip tersebut menghalang media ini masuk ke dalam tangki ikan.

Facebook
Instagram

Penutup tangki ikan

Tangki ikan yang saya guna asalnya adalah untuk tangki simpanan air, jadi ia datang dengan penutup. Untuk dijadikan tangki ikan, saya ada terfikir untuk memotong lubang tinjau di penutup tangki. Tapi kalau dah berlubang nanti tak dapat nak gunakan semula sebagai tangki simpanan air jika saya ubah fikiran.

Oleh itu saya pasang kaki penyokong untuk menggantung penutup tersebut di atas tangki. Saya mendapat idea ini daripada ASK Aquaponics. Daripada meletakkan penutup tangki itu di tempat lain, cara ini menjimatkan ruang, dan juga dapat mengelakkan sinaran cahaya matahari terus ke dalam tangki, yang boleh menyebabkan pertumbuhan lumut.

Facebook
Instagram

Definisi sayuran organik

Definisi organik ini ada pelbagai. Untuk tanaman sayuran, sesetengah orang hingga mengambil kira jenis media tanaman untuk menentukan sama ada sayuran itu organik atau tidak.

Bagi kami, sayuran organik hendaklah bebas daripada racun serangga sintetik. Ini kerana sisa racun inilah yang mengancam kesihatan kita.

Media dan baja tanaman boleh sahaja menggunakan bahan kimia sintetik, kerana bahan kimia yang sama boleh didapati pada baja organik.

Sayur salad kampung (lettuce) kami baru tuai dari kotak tanaman (raised beds) & anak sayur seterusnya baru dipindah.

Facebook
Instagram

Video tinjauan set aquaponics

Video ringkas meninjau set aquaponics yang baru siap komponen tangki ikan dan pengumpulan air hujan, pada musim hujan bulan lalu.

Facebook
Instagram