CHOP? CHIFT PIST? APEKEBENDALAHTU?

Dalam set aquaponics yang saya buat sebelum ini, kesemuanya menggunakan kaedah pam air di dalam tangki ikan. Untuk sistem yang mempunyai sedikit ikan, kaedah ini tidak ada banyak masalah. Tapi apabila sistem itu dikembangkan untuk skala komersial, kaedah tersebut menjadi kurang sesuai, lebih-lebih lagi pam air yang akan selalu tersumbat dengan sisa pepejal daripada tangki ikan.

Dengan itu, kaedah CHOP ataupun CHIFT PIST digunapakai. CHOP adalah kependekan kepada Constant Height One Pump (ketinggian malar, satu pam), manakala CHIFT PIST pula ialah Constant Height In Fish Tank, Pump In Sump Tank (ketinggian malar dalam tangki ikan, pam dalam tangki takungan).

Kedua-duanya adalah kaedah yang lebih kurang sama, iaitu dengan meletakkan pam air di dalam tangki takungan (sump tank), manakala tangki ikan dibersihkan menggunakan kaedah SLO (solid lifting outlet atau paip keluar mengangkat pepejal), yang tidak mudah tersumbat berbanding pam air.

Menurut nama kaedah tersebut, aras kedalaman air tangki ikan adalah tetap, walaupun ketika berlaku kebocoran (pada paip lain dalam sistem) atau kegagalan pam air. Berlainan dengan jika pam air diletakkan di dalam tangki ikan, jika berlaku kebocoran, tangki ikan berisiko untuk kehilangan air hingga kering.

① – Bagi bersedia untuk operasi komersial, saya mengubah susun atur sistem aquaponics ini dengan mengaplikasi kaedah CHOP/CHIFT PIST. Air dari tangki ikan akan mengalir ke dalam tangki penapis aliran jejari (radial flow filter), kemudian ke tangki penapis bio, seterusnya ke tangki takungan.

② – Sambungan dari tangki penapis bio (bio filter) ke tangki takungan (sump tank). Tangki takungan ini diperbuat daripada tong 55 gelen untuk simpanan makanan. Sebaiknya gunakan tong yang baru atau kalau beli yang terpakai, pastikan ia tidak digunakan untuk menyimpan bahan kimia, kerana sisa kimia akan memberi kesan tidak diingini kepada ikan dan tanaman.

Pam air akan diletakkan di dalam tangki takungan, yang mengalirkan air kembali ke tangki ikan, dan satu aliran akan ditambah ke komponen hidroponik. Kali ini saya memilih untuk menggunakan kaedah NFT (nutrient film technique atau teknik filem nutrien).

③ – Kelainan yang saya buat daripada kaedah CHOP/CHIFT PIST yang piawai ialah saya menyambung saluran dari pancur atap ke dalam satu tong yang bertindak sebagai penapis – kotoran akan mendap ke dasar tangki, dan air yang lebih bersih akan melimpah masuk ke dalam tangki takungan untuk menambah kuantiti air dalam sistem. Walau bagaimanapun, ini hanya pemasangan sementara, dan saya mungkin akan menukarnya pada masa akan datang.

④ – Ini berita buruk. Kesemua ikan emas shubunkin telah mati semasa saya mengubah suai susun atur sistem aquaponics ini. Besar kemungkinan kerana cuaca panas – saya menukar air menggunakan air paip yang barangkali mengandungi klorin yang tinggi ataupun suhunya tinggi. Akan tetapi, ini juga berita baik kerana ia memberi ruang kepada saya untuk fokus kepada penternakan tilapia.

Ubah suai ini sebenarnya telah pun siap dua ke tiga minggu lalu, namun disebabkan cuaca yang jarang hujan, tangki ikan masih lagi belum penuh. 🐟

Facebook

Gambar dekat sambungan kayu rangka dinding

① – Rangka pada lantai, disambung menggunakan paku 3”, dan kayu menegak menggunakan paku 2”, dipasang pada tiga sisi kayu

② – Sambungan rangka kayu tegak pada gelegar bumbung, juga menggunakan paku 2” pada tiga sisi. Pemasangan kayu tegak (stud) ini secara tidak langsung menguatkan kayu gelegar bumbung yang menampung beban atap.

③ – Sambungan pada tingkap. Sama, paku 2” pada tiga sisi. Jika salah satu sisi mempunyai pemasangan yang kurang sempurna, seperti paku membengkok atau paku tidak cukup masuk ke kayu yang disambung, maka sisi keempat akan dipaku lagi.

④ – Ini sambungan pada tiang. Kayu belian yang dipakai di sini adalah digunakan semula daripada rumah lama, dapat dari pakcik² belah isteri, dan bentuknya sudah tidak sekata, yang asalnya bersaiz 4×4. Jadi potongan kayu kena dikhaskan mengikut bentuk kayu tiang.

Facebook
Instagram

Rangka dinding bertingkap

1 – Untuk rangka dinding yang ada mempunyai lubang tingkap, jarak antara kayu rangka adalah bergantung kepada luas tingkap yang diingini. Bagi tingkap ini, saya mahu pasang tingkap satu daun, dan lebar bukaan adalah dalam lebih kurang 2’

2 – Kemudian kayu melintang dipasang untuk melengkapkan rangka. Tinggi tingkap dari lantai adalah lebih kurang 32”, berbeza dengan rangka yang tingginya dalam 3’.

3 – Untuk dinding yang satu lagi ni, saya mahu tingkap yang ada dua daun, jadi lebarnya ditambah menjadi lebih kurang 4’.

4 – Dan begini rupanya apabila rangka telah siap dipasang.

Facebook
Instagram

Rangka dinding bilik

Sebelum memasang dinding, rangkanya kena buat dahulu. Saya pilih bahagian dinding yang tiada tingkap untuk dibuat dahulu sebab ianya yang paling mudah untuk dikerjakan.

1 – Kayu 2×2 dipasang di atas lantai pada perimeter bilik, ia dipaku ke tiang dan gelegar lantai. Bagi lantai yang tiada kayu rangka di hujung sisi seperti di sebelah kiri dalam gambar, saya paku lantai tersebut dari bawah ke dalam kayu rangka dinding tersebut untuk mengukuhkan lantai.

2 – Kemudian kayu rangka menegak dipasang, jarak antaranya dibahagi sama rata, bagi dinding ini, panjangnya 10’ jadi jarak antara kayu rangka ada dalam 3’.

3 – Akhir sekali kayu melintang dipasang bagi melengkapkan rangka. Dinding luar akan menggunakan atap metal sheet, jadi cara pasang adalah dengan memaku pada kayu gelegar bumbung (sebaris melintang), kemudian pada rangka melintang dan akhir sekali rangka lantai. Ini meningkatkan ketegaran struktur keseluruhan rumah supaya tidak mudah jadi senget.

Facebook
Instagram

Satu lagi meja ketuhar DIY

1 – Rangka meja dibuat sama seperti meja ketuhar mikro yang dibuat bulan lalu. Saiznya 40cm panjang, 60cm lebar dan 95 cm tinggi.

2 – Di sini saya menggunakan skru 2” untuk menyambungkan rangka. Ianya lebih mudah cuma mata skru mudah menjadi tumpul jika terlepas daripada skru semasa diketatkan pada kayu yang keras.

Tips untuk menyambungkan kayu menggunakan skru – tebuk dahulu lubang pada bahagian di mana skru akan mula dipasang. Saiz lubang hendaklah sedikit kecil daripada saiz skru yang digunakan. Pada bahagian kayu yang ingin disambung, buat lubang kecil sahaja cukup sebagai panduan untuk skru masuk, namun jika kayu tersebut jenis lembut, tak perlu dibuat lubang.

3 – Permukaan meja telah dipasang dengan plywood 10mm yang telah dipotong mengikut saiz & dibawa dari rumah kampung.

4 – Saya tak bawa varnis balik dari rumah kampung, jadi meja ini menggunakan konsep brutalis buat masa sekarang 😎

Facebook
Instagram

Lantai bilik rumah kampung #3

1 – Bahagian lantai yang bersambung dengan ruang tamu dah pun siap. Bahagian ini agak mencabar sebab panjang yang tidak sekata – hujung dan pangkal lantai ada perbezaan dalam 1 cm, agak sukar untuk membuat garisan untuk memotong plywood tersebut. Kalau ada chalk line tugas ini akan jadi lebih mudah.

2 – Dua hari hujung minggu, tinggal sedikit lagi sebelum lantai ini siap. Saya tutup dengan plastik besar bagi mengelak terkena air hujan.

3 – Ini satu lagi bahagian kecil yang belum pasang plywood. Cukuplah untuk minggu ni, minggu depan sambung lagi 🥵.

Facebook
Instagram

Lantai bilik rumah kampung #2

1 – Masih ada lagi bahagian lantai bilik untuk dipasang. Seperti yang sebelumnya, rangka akan dipasang dahulu.

2 – Panjangnya ada dalam 6’, pada bahagian tiang kena dipotong untuk sesuaikan bentuknya. Jadi bahagian ini mengambil masa lebih panjang untuk siap, untuk menyesuaikan saiz plywood dengan panjang bilik & tiang rumah.

3 – Satu bahagian lagi dah pun siap. Dapat dilihat pada bahagian kiri, plywood dipasang melebihi kayu gelegar. Pada bahagian tersebut, kayu 2×2 akan dipasang di atas plywood sebagai rangka dinding. Perinciannya akan dapat dilihat apabila saya mula memasang rangka dinding nanti.

Facebook
Instagram

Lantai bilik rumah kampung #1

Beberapa minggu lalu, saya memulakan proses memasang lantai bilik rumah kami. Sepatutnya dibuat pada cuti CNY yang lalu, tapi kedai banyak dah tutup, tak sempat nak beli plywood.

1 – Rangka lantai yang telah lama dipasang ini jaraknya adalah 4’, dan yang lebihan hujung kiri adalah 2’. Saya mahu rangka lantai ini sekurang-kurangnya 2’ supaya plywood tak mudah melengkung apabila berjalan di atasnya. Beberapa kayu 2×2 dah dikerat dan sedia untuk dipasang.

2 – Plywood pertama telah dipasang menggunakan skru 1” dan diperkuatkan lagi dengan beberapa paku 2”

3 – Satu hari siap pasang rangka lantai dan 4 keping plywood. Saya pasang plywood pada bahagian yang tidak perlu dipotong mengikut sisi dinding atau tiang rumah. Oleh itu sebaiknya siapkan bahagian yang paling mudah dahulu sebelum tiba pada kerja yang lebih mencabar.

Facebook
Instagram